Saturday, May 29, 2010

Masjid Oh Masjid!

  1. Selain menjadi tempat beribadat umat Islam, masjid sepatutnya menjadi institusi sosial yang paling penting bagi umat Islam, selaras dengan sunnah Rasul.
  2. Sejurus Rasulullah berhijrah ke Madinah, baginda mendirikan masjid yang menjadi lokasi berkumpulnya umat dalam semua urusan selain tempat solat berjemaah.
  3. Kini di Malaysia, boleh dikatakan banyak masjid yang indah dibina, tetapi sayang sekali, penggunaannya tidak dimaksimumkan, hanya seminggu sekali dipenuhi umat, yakni ketika solat Jumaat, manakala untuk solat fardu 5 kali sehari boleh dikira dengan jari bilangan safnya.
  4. Setelah selesai solat jemaah Isyak, kebanyakan masjid akan dikunci, atas alasan mengelakkan kecurian, walaupun setiap masjid dilantik tok siak. Kalau ada yang terlewat nak menunaikan solat Isyak, jawapannya ialah solatlah di tempat lain, sama ada di rumah atau di bilik hotel.
  5. Para musafir yang kurang berkemampuan tidak boleh lagi mengharapkan tumpang bermalam di masjid kerana pintu pagarnya berkunci atau bagi sesetengah tempat yang agak lebih kasar, petugas masjid akan menghalau mereka.
  6. Bagi anak muda yang sesat di kota, jangan harap dapat bermalam di masjid, justeru ada yang bermalam di gereja, malah dipelawa dengan penuh hospitaliti oleh paderi yang bertugas.
  7. Setelah ada anak Melayu yang mendekati gereja, maka adalah suara-suara senada Zul Nordin yang mengecam pihak gereja atas alasan mereka cuba mengkristiankan anak Melayu yang lahir dari keluarga Islam.
  8. Kita tidak pernah mendengar teguran kepada pihak masjid yang telah memberi ruang kepada pihak lain untuk membuat kebajikan atas prinsip kemanusiaan terhadap anak bangsa. Kita hanya sibuk menyalahkan pihak agama lain, walaupun kita sendiri yang memberi ruang kepada mereka. Kita sendiri yang menjauhkan umat dari masjid.
  9. Oh! Mesti ada yang berpendapat kononnya masjid perlu dijaga kesuciannya dari dicemari, tetapi apakah itu ajaran nabi kepada kita dalam hal mengimarahkan masjid. Kalau kita bimbangkan keselamatan tok siak atau harta benda, kenapa tidak digajikan saja pengawal keselamatan bertugas, hairan juga jika seorang paderi boleh menjaga gerejanya dan mengalu-alukan tetamu atau musafir tanpa mengira kaum dan agama, mengapa imam, bilal, khatib atau tok siak yang kebanyakannya dibayar elaun oleh jabatan agama tak boleh. Bukankah berbuat baik sesama manusia itu suatu bentuk dakwah yang amat berkesan seperti mana nenek moyang orang Melayu yang memeluk Islam disebabkan layanan berhemah mubaligh Islam di masa lampau.
  10. Justeru itu, artikel ini diharap dapat menyedarkan kita tentang kelemahan fungsi masjid, realitinya kita sudah terlebih sekular dari sekularis sendiri yang ingin mengasingkan agama dari setiap aspek kehidupan, apa salahnya jika institusi masjid menjadi tempat bergantung masyarakat dalam kesusahan. Saya menulis berdasarkan pengalaman kesukaran untuk singgah solat Isyak di masjid selepas pukul sepuluh malam.

3 comments:

  1. salam...
    memang betul kenyataan tentang masjid...
    ni la kalau yang memegang jawatan bukan yang hak..

    ReplyDelete
  2. Yup, memang sudah seharusnya masjid dijadikan tempat untuk bersosialisasi bagi umat islam dengan kegiatan yang bermanfaat dalam rangka untuk memakmurkan masjid....

    Btw, lam kenal ja sob.....

    ReplyDelete
  3. Tu pasalnya bila masjid disalahguna demi kepentingan politik....

    ReplyDelete