Monday, October 4, 2010

Dijemput Menjadi Tetamu Allah di Makkah

  1. Memandangkan kehidupan lampau, ramai yang agak terkejut apabila saya menyatakan hasrat untuk menunaikan fardu haji pada tahun ini, yang mana saya insyaallah berangkat ke Tanah Suci pada 19 Oktober ini.
  2. Sebenarnya saya sendiri pun agak terkejut, namun tawaran ini merupakan jemputan dari Allah kepada hamba yang dikehendakiNya.
  3. Semasa mendaftar pada tahun lepas, pihak Tabung Haji memaklumkan tahun pemergian saya ialah pada 2022, namun Allah telah memilih saya mendahului yang lain, menyebabkan saya rasa amat bersyukur.
  4. Saya yang akan pergi melalui muasasah TH, bernasib baik apabila isteri saya yang ditawarkan buat kali yang ketiga setelah menolak tawaran sebelum ini memerlukan mahram bagi mengiringi beliau.
  5. Bagi sesetengah kenalan yang mengenali saya dengan kehidupan yang agak rock n roll dan pernah melalui kehidupan zaman gelap seperti yang saya pernah tulis dalam post sebelum ini, agak sukar mempercayai pada mulanya, namun setelah saya jemput ke kenduri dan bacaan Yassin sempena pemergian saya, barulah hakikat tersebut diterima.
  6. Allah Maha Penyayang dan saya bersyukur kerana dipilih untuk menyucikan diri yang kotor sebelum ini.
  7. Dalam tempoh dua minggu sebelum pemergian saya, kini saya dalam proses membersihkan diri dengan memohon maaf kepada Allah dan sesama manusia, walaupun ada manusia yang masih tidak mahu bertegur sapa walau saya menghulurkan tangan, namun saya anggap ianya sebagai ujian untuk menguji kesabaran saya.
  8. Pada tahun ini, Allah telah memakbulkan dua permintaan saya iaitu untuk berkonvo menerima ijazah dan menunaikan haji yakni pada usia 40 tahun.
  9. Bagi saya, Allah sememangnya Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kerana memberi peluang kepada saya untuk berubah, dari kehidupan yang amat jauh dengannya kepada kehidupan seperti yang sepatutnya sebagai Muslimin.
  10. Apa yang saya harapkan ialah saya berupaya melawan nafsu dan bisikan syaitan yang sentiasa membisikkan kejahatan, dan sudah tentulah saya mengharapkan Haji Mabrur.